
CYBERJAYA- Sejak 30 tahun lalu kerajaan Kelantan didapati begitu ketat mengawal penjualan minuman keras di negeri berkenaan.
Justeru ketika masyarakat banyak memperkatakan tentang masalah pemandu mabuk yang agak ketara berlaku mutakhir ini, wujud cadangan supaya kerajaan Pusat mencontohi Kelantan dalam menangani permasalahan tersebut.
Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua berpendapat, Kelantan adalah model yang sepatutnya dicontohi dalam menangani masalah pemandu mabuk khususnya mengawal penjualan minuman keras.
Katanya, pendekatan yang diambil kerajaan Kelantan mendatangkan impak positif di mana jarang kedengaran kes-kes melibatkan kemalangan maut berpunca daripada pemandu mabuk di negeri itu.
“Bagi saya walaupun saya beragama Buddha, dalam agama saya juga melarang minum arak dan makan perkara yang memabukkan, bukan agam Islam sahaja.
“Jadi kita ambillah Kelantan sebagai model dan contoh sebab Kelantan sejak 30 tahun sudah mula membuat peraturan yang sungguh ketat berkaitan dengan arak.
“Kerajaan negeri mengawal penjualan arak dengan mengeluarkan lesen dengan had tertentu, premis yang ada lesen sahaja boleh jual arak, tidak dibenar secara bebas.
“Hanya premis atau restoran tertentu sahaja dibenarkan dan diluluskan penjualan arak,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.
Ketika ini isu pemandu mabuk yang menyebabkan berlaku kemalangan maut hangat diperkatakan susulan kejadian demi kejadian dilihat semakin menjadi-jadi.
Sebelum ini, Pas turut menggesa kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat diselesaikan.
Terdahulu hari ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pembekuan semua permohonan baharu untuk lesen minuman keras berkuatkuasa serta merta.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga bersedia menimbang cadangan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan lesen baharu penjualan arak.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan untuk membekukan lesen perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ‘ad hoc’.
Sementara itu, Chin Chua berkata, di Kelantan penjualan arak secara bebas tidak berlaku seperti mana di negeri-negeri lain.
“Kita dapat lihat minuman keras tidak dijual di kedai-kedai serbaneka 24 jam seperti di negeri lain. Hanya kedai-kedai yang dikhaskan dibenarkan, mengikut keperluan setempat.
“Justeru langkah kerajaan untuk menggubal undang-undang yang berkait dengan arak ini perlu disokong oleh seluruh masyarakat di Malaysia.
“Satu jalan penyelesaian perlu kita lakukan dalam kadar segera sebab semakin lama semakin parah, tindakan kerajaan untuk menggubal undang-undang berkaitan sepatutnya disokong oleh semua supaya keadilan kita tegakkan,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, perkara sama juga perlu diambil tindakan serius dalam menangani masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan air ketum yang semakin menular dalam masyarakat.