Covid-19: 16 kes baharu dilaporkan

0
55

CYBERJAYA- Sebanyak 16 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,572 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 16 kes baharu itu, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan dua warganegara Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

Dr. Noor Hisham berkata, bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 13 kes dilaporkan dengan sembilan kes bukan warganegara manakala empat kes adalah rakyat Malaysia.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 10 kes sembuh dilaporkan dan kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 8,156 kes atau 95.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, sembilan kes jangkitan dalam negara iaitu bukan warganegara membabitkan dua kes dikesan di Selangor iaitu kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes ke 8,513 dari kluster syarikat pembersihan.

“Enam lagi kes dikesan di Negeri Sembilan daripada kluster Pedas dan satu kes dikesan ketika saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.

“Bagi empat kes penularan dalam negara membabitkan warganegara Malaysia, dua kes dikesan di Sarawak iaitu kontak rapat kepada kes 8,535 daripada kluster Kidurong.

“Masing-masing satu kes dikesan di Melaka dan Johor iaitu ketika saringan orang kena tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap dan saringan pra-pembedahan di hospital,” katanya.

Selain itu katanya, sehingga kini, tiga kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 dan jumlahnya kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here