
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Kluster Pedas merekodkan 36 kes Covid-19 baharu menjadikan jumlah kes positif bagi kluster berkenaan 256 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes-kes positif baharu ini telah
dikesan hasil daripada saringan ulangan ketika tempoh mereka di pusat kuarantin.
“Kes-kes positif kluster ini melibatkan 14 kes dalam kalangan warga Malaysia dan 242 kes bukan warganegara.
“242 kes bukan warganegara melibatkan 136 kes warga Nepal; 55 kes warga Bangladesh; 26 kes warga Myanmar; 21 kes warga Indonesia; tiga kes warga India; dan satu kes warga Vietnam.
“Ingin dimaklumkan bahawa mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat,” katanya pada sidang akhbat di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, beliau menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menangani jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja masing-masing.
“Antara tindakan yang boleh diambil adalah memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan
kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal, serta langkah pencegahan.
“Menyaring pekerja bukan warganegara untuk Covid-19 terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan di semua zon merah seperti diarahkan kerajaan.
“Selain itu, pekerja bukan warganegara dari zon kuning dan zon hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing,” katanya.