Covid-19: Giliran memihak sektor IT

0
250

JANGKITAN Covid-19 di seluruh dunia sehingga kini telah melebihi 3.6 juta dengan angka kematian mencecah 380,000 orang. Secara global, pandemik ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Selepas setengah tahun menular, Covid-19 telah melumpuhkan banyak sektor sehingga ramai tersungkur akibat kehilangan perniagaan dan pekerjaan, malah pakar ekonomi meramalkan kesan yang lebih buruk selepas ini.

Namun ketika kebanyakan sektor perniagaan terkesan teruk, pandemik itu memberi impak yang sama sekali berbeza pada sesetengah bidang.

Satu daripadanya adalah sektor telekomunikasi dan teknologi yang mencatatkan perkembangan luar biasa, kesan daripada penduduk dunia yang kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Ditambah dengan trend bekerja dari rumah (WFH), yang secara tidak langsung menambah kebergantungan kita kepada teknologi sama ada untuk kegunaan sosial atau pekerjaan.

Pembangun aplikasi persidangan dan sembang video seperti Zoom merupakan antara ‘pemenang’ dalam segmen ini apabila mengumumkan lonjakan saham syarikat sehingga 50 peratus selepas kenaikan mendadak jumlah pengguna kesan daripada penularan Covid-19.

Kemudahan aplikasi yang membolehkan pengguna berinteraksi secara maya itu menjadi popular dalam sekelip mata. Sekali gus merancakkan pembelajaran dalam talian atau e-learning di seluruh dunia.

Dengannya anak-anak di rumah boleh berinteraksi dengan guru, mengikuti kelas mengaji Al-Quran dan ibu bapa mula mengikuti kelas senaman, memasak dan sebagainya.

Selain Zoom, gergasi-gergasi digital seperti Microsoft, Google, Adobe, Amazon dan banyak lagi turut menawarkan pelbagai kemudahan aplikasi dan perisian percuma untuk ‘menceriakan’ warga internet.

Itu hanya sebahagian daripada jenama popular. Di www, ratusan syarikat menawarkan produk berkualiti berkaitan pengurusan perniagaan, peribadi, pendidikan, hiburan, hobi dan kemahiran secara percuma.

Peluang serta kemudahan seperti ini jika tidak dimanfaatkan sudah tentu menjadi satu kerugian manakala adaptasi atau pergantungan pada norma baharu ini juga tidak mustahil akan ‘menafikan’ keperluan kaedah pembelajaran konvensional.

Sambutan terhadap produk komputer di negara ini penulis saksikan sendiri ketika beberapa kali berulang ke pusat perniagaan digital terbesar di ibu kota, Plaza Low Yat, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dikatakan permintaan pada peralatan seperti komputer peribadi, telefon pintar, kamera web dan mesin cetak naik secara mendadak.

Hassan, seorang pengusaha kedai membaiki dan menjual barangan komputer terpakai berkata, jumlah pelanggan meningkat sehingga tiga kali sepanjang musim PKPB.

“Ramai yang datang cari komputer terpakai dan membaiki yang mana rosak. Ada masa sampai tidak menang tangan,” kata warga Bangladesh yang sudah berniaga di Low Yat sejak lebih 20 tahun.

Bukan sahaja peralatan komputer, kunjungan penulis ke pusat jualan barangan elektrik dan elektronik untuk menggantikan televisyen (TV) beberapa hari sebelum Aidilfitri juga hampa kerana kehabisan stok.

Barang kali pada musim Covid-19 ini, ahli keluarga mula menghabiskan masa bersama menonton program-program TV kegemaran mereka di Netflix dan Youtube. Melupakan seketika kepuasan menonton panggung wayang.

Itu belum mengambil kira ‘kegilaan’ orang ramai berbelanja di platform dalam talian yang menyebabkan syarikat-syarikat penghantaran barang dalam negara dibanjiri bungkusan kiriman.

Begitu juga dalam segmen pertukangan dan penambahbaikan rumah. Orang ramai dilihat memanfaatkan sepenuhnya musim Covid-19 untuk menyelesaikan kerja-kerja membaiki dan mengubah suai rumah sehingga kedai-kedai hardware tidak putus dikunjungi pelanggan.

Dalam kategori hobi pula, kedai-kedai ikan hiasan dan nursuri tumbuhan juga sama. Hujung minggu lalu, berpuluh-puluh kenderaan memenuhi ruang parkir pusat jualan pokok hiasan di Bandar Baru Bangi.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini adalah masih ada sektor-sektor tertentu yang tidak terkesan daripada penularan Covid-19 bahkan mendapat manfaat yang lebih daripadanya dan peluang itu juga boleh dimanfaat oleh individu dan usahawan di negara ini jika pandai melihat dan mencari peluang.

Rakan penulis yang menjalankan perniagaan kek dari rumah selepas diberhentikan kerja mengakui meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding gaji bekerja di tempat kerja lamanya sepanjang PKPB.

“Sambutan pada makanan memang sentiasa ada. Perniagaan ini dipermudahkan dengan adanya servis penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grabfood.

“Tengok trend sekarang, kaji tabiat pengguna dan buat sedikit modifikasi dari semasa ke semasa, insyallah akan berjaya,” nasihatnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here