
CYBERJAYA – Malaysia sekali lagi mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan apabila hanya dua kes dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan dua kes tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,338 kes manakala jumlah kes aktif adalah sebanyak 1,206 kes.
“Daripada dua kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.
“Satu kes penularan di dalam negara pula merupakan seorang bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8,303,” katanya dalam sidang akhbar Covid-19 hari ini.
Dalam pada itu, katanya, setakat hari ini terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj.
Beliau berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,014 kes atau 84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, hari ini terdapat pertambahan satu kes kematian melibatkan warganegara Malaysia berumur 61 tahun.
“Kes kematian ke-118 ini merupakan kes ke-824 iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.
“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan telah dirawat diHospital Sungai Buloh pada 15 Mac lalu.
“Beliau disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 7.03 pagi,” ujarnya.-MT