Covid-19 : Kejayaan Vietnam jadi inspirasi

0
519

TOKYO – Saluran televisyen Jepun, NHK baru-baru ini menyiarkan beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kejayaan Vietnam membendung penularan Covid-19.

Laporan memetik seorang profesor itu mengatakan sistem pengujian yang cepat, langkah kuarantin yang menyeluruh dan sistem politik negara yang stabil membolehkan negara itu pulih daripada ‘serangan’ Covid-19 lebih baik dari kebanyakan negara.

Dalam laporan itu, NHK melaporkan sejurus selepas kes pertama disahkan di negara ini pada akhir Januari, pihak berkuasa mengenakan perintah kuarantin kepada pesakit dan kontak.

“Bermula awal April, kerajaan melarang apa juga acara yang tidak penting dan semua kedai diarah tutup kecuali pasar raya dan farmasi.

“Vietnam tidak mempunyai kit ujian atau ubat khusus untuk merawat penyakit ini tetapi kerajaan memutuskan apa yang perlu dilakukan sejak peringkat awal dan terus melaksanakannya tanpa berlengah,” ujar Profesor Universiti Nagasaki, Jepun, Hasebe Futosh.

Tinjauan firma penyelidikan Britain, YouGov, menunjukkan lebih 90 peratus rakyat Vietnam mengatakan kerajaan berjaya menangani wabak itu dengan baik.

Dalam wawancara dengan NHK dan media antarabangsa lain, Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc berkata, meskipun langkah-langkah sukar terpaksa diambil namun ia terbukti membuahkan hasil.

“Kami tidak boleh mengabaikan nyawa rakyat dengan hanya memikirkan soal ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, virus itu sangat berbahaya dan belum ada vaksin yang berjaya dihasilkan, justeru langkah-langkah pencegahan ketat amat penting.

“Kejayaan membendung pandemik dengan cepat membantu menarik pelabur dan pelancong kembali ke Vietnam.”

Memandangkan Covid-19 memberi kesan buruk kepada ekonomi Vietnam, beliau berikrar untuk membantu pengusaha perniagaan dengan mengurangkan cukai dan menawarkan pelbagai insentif lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here