
CYBERJAYA – Kes baharu Covid-19 yang dicatatkan hari ini melonjak kepada 277 kes yang membabitkan warga asing dan hanya empat penularan rakyat tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes penularan dalam kalangan bukan warganegara adalah 271 kes, manakala terdapat dua kes import warganegara
Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.
Menurutnya, daripada angka itu, sebanyak 270 kes dalam kalangan bukan warganegara adalah daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan merupakan sampel ulangan bagi orang kena tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini tersebut.

Katanya, mereka telah terdedah kepada kes positif sebelum ini dan satu kes bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu.
“Seterusnya, jumlah pulih pula meningkat sebanyak 28 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,559 atau 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Bagi jumlah kes baharu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,247 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,573 kes,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Dr. Noor Hisham memberitahu, setakat dilaporkan hari ini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, daripada maklumat terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MBNews