Covid-19: Kes meningkat, 43 kes baharu, 1 jangkitan ketika kunjungan Aidilfitri

0
211
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 43 kes hari ini dengan satu daripadanya kes saringan kontak rapat di Negeri Sembilan yang berlaku ketika aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 43 kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak lima kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, baki 38 kes lagi berkaitan penularan tempatan.

Beliau berkata, daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara, manakala 15 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

Katanya, susulan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak berkenaan dalam negara sebanyak 8,445 kes.

“Terdapat 143 kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 7,311 kes, 86.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1014 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, hanya empat pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini 120 kes, 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-120 (kes ke-8403) membabitkan wanita warga Malaysia berusia 96 tahun. Beliau meninggal dunia pada semalam di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Saringan ujian Covid-19 didapati positif. Punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here