Covid-19: Kes positif terendah, hanya 7 kes baharu, tiada kematian

0
249
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara hanya merekodkan tujuh kes hari ini dengan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu dalam negara sebanyak 8,329 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan itu, ada dua kes import dan lima lagi kes penularan tempatan dalam kalangan warga Malaysia.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara juga meningkat kepada 6,694 kes dengan kadar kesembuhan 80.4 peratus pada hari ini.

Menurutnya, ia susulan pertambahan 20 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Keseluruhannya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,518 kes.

“Seramai enam pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham.

Beliau berkata, perincian bagi lima kes penularan dalam negara dalam kalangan warga Malaysia adalah dua kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8294) di Sepang dan satu kes saringan tempat kerja dari Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Katanya, selain itu, pihaknya juga menerima satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu dan satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Sabah

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes, 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here