
BISHKEK – Kyrgyzstan hari ini mengesahkan terdapat 69 kes baharu Covid-19 menjadikan angka keseluruhan akibat jangkitan penyakit itu meningkat kepada 1,817 kes, lapor agensi Berita Kyrgyz (Kabar).
Timbalan Menteri Kesihatan, Nurbolot Usenbaev menerusi taklimat dalam talian berkata, daripada jumlah itu 12 kes membabitkan petugas perubatan, menjadikan jumlah keseluruhan anggota kesihatan dijangkiti virus itu seramai 362 orang termasuk 252 pesakit yang sudah pulih.
Tambah beliau, 18 jangkitan merupakan kes import, 46 kes baharu mempunyai kontak dengan pesakit manakala lima lagi tidak dapat dipastikan bagaimana mereka dijangkiti.
Pada masa ini terdapat seramai 620 pesakit dirawat di hospital, lima daripadanya berada di unit rawatan rapi.
Secara keseluruhan, 2,393 kontak telah dikenal pasti dan diletakkan di bawah pemerhatian perubatan.
Seramai 7,630 kontak lagi menjalani kuarantin di rumah.
Menurut beliau lagi, sebanyak 1,151 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan dalam tempoh 24 jam lalu.