Covid-19: Selangor lanjutkan tangguh solat Jumaat, 5 waktu berjemaah di masjid dan Surau 30 Jun

0
212

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penangguhan mengerjakan solat Jumaat dan solat-solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau di Selangor akibat penularan Covid-19 dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya berkata, keputusan larangan itu merupakan satu keputusan yang amat sukar dan berat bagi Baginda untuk memutuskannya. 

Menurut beliau, Baginda turut memahami keluh kesah rakyat jelata yang tidak dapat menunaikan ibadat di masjid-masjid selama tempoh 12 minggu setakat ini. 

“Namun demikian keputusan ini terpaksa dikeluarkan demi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya Covid-19 dapat dibendung dan dikawal.

“Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak Covid-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Negeri Selangor yang telah menunjukkan aliran penurunan,” katanya.

Tambah Mohamad Munir, larangan itu dikecualikan di 39 buah masjid yang  dibenarkan sebelum ini untuk melakukan Solat Jumaat dengan jumlah bilangan telah ditetapkan.

Beliau berkata, jumlah yang dibenarkan hadir bagi mengerjakan solat Jumaat tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

“Walau bagaimanapun, Sultan Selangor masih bimbang dengan risiko jangkitan jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat di Negeri Selangor ini akan turut terancam,” katanya.

Beliau berkata, sebagai melaksanakan tuntutan fardhu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardu lima waktu tetap dilakukan oleh seramai ti orang yang terdiri daripada imam, bilal dan siak di masjid dan surau selain  program ceramah melalui media sosial juga tetap diteruskan. 

Dalam pada itu beliau berkata, semakan semula akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini.

Tambah beliau,  sekiranya penularan Covid-19 didapati menurun secara konsisten maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah solat Jumaat ditambah dan masjid dibuka lebih awal bagi mendirikan solat itu secara berperingkat khususnya di kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau.

“Bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid, Sultan Selangor menyeru agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here