Dakwaan Heidy Quah tidak benar

0
704
KHAIRUL DZAIMEE DAUD

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan satu hantaran dimuat naik oleh seorang warga maya mengenai terdapat seorang tahanan wanita yang baru melahirkan anak dan menerima layanan buruk di depot agensi itu.

Ketua Pengarahnya,  Khairul Dzaimee Daud berkata, dakwaan warga maya yang menggunakan akaun Facebook Heidy Quah pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran berlaku kes pukul, kematian dan makanan diberi tidak mencukupi serta bekalan air tidak bersih.

Jelas beliau, gambar yang digunakan dalam hantaran tersebut bukanlah gambar semasa di Depot Imigresen dan semakan mendapati gambar tersebut adalah pada tahun 2008.

“JIM mengambil serius tuduhan-tuduhan ini. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu sehingga kini, tiada pelawat dibenarkan memasuki kawasan Depot Imigresen.
“Sehubungan itu, pemilik akaun Heidy Quah diminta menyatakan lokasi dan Depot Imigresen dimana beliau bertemu dengan wanita dimaksudkan dalam hantaran Facebook tersebut supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Menurut beliau, semua tahanan diberikan sajian makanan berkualiti dan penyediaan makanan adalah mengikut diet yang telah ditetapkan dalam kontrak pembekalan makanan seperti disyorkan Kementerian Kesihatan. 

Jelas beliau, kos makan tahanan dalam depot secara purata ialah RM12.50 sehari untuk setiap tahanan dan bekalan air pula adalah daripada air bersih yang telah dirawat.

“JIM sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan dalam menguruskan warga asing di Depot mengikut standard ditetapkan dalam Nelson Mandela Rule – Minimum standard Requirement on Detention

“Tahanan wanita dengan anak-anak kecil ditempatkan di blok berasingan. Bekalan susu bayi disediakan dan keperluan asas wanita turut dibekalkan,” katanya.

Selain itu beliau memberitahu,  pengurusan depot Imigresen juga sering dilawati oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) International Committee of the Red Cross (ICRC) dan lain-lain. 

“Penambahbaikkan berterusan sentiasa dibuat hasil daripada lawatan dan pandangan agensi-agensi tersebut,” ujarnya.

Kata beliau, JIM sentiasa memantau laporan dalam media sosial yang tidak tepat dan boleh mencemarkan nama baik jabatan. 

“Laporan polis akan dibuat jika maklumat yang dimuat naik tersebut bersifat fitnah dan boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here