Dana RM1 bilion untuk bantu industri pelancongan

0
236
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM1 bilion dalam usaha membantu sektor pelancongan bangkit semula.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skim pembiayaan itu akan ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.

“Perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Julai ini,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi perusahaan mikro pula, kerajaan akan mewujudkan Pembiayaan Mikro
Penjana dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional dan Tekun Nasional.

Beliau berkata, kedua-dua institusi kewangan itu akan menyediakan pembiayaan sebanyak RM400 juta di mana RM50 juta akan dikhususkan kepada usahawan wanita.

Mengulas lanjut, katanya, dalam usaha untuk memperkasakan penglibatan bumiputera dan memastikan kelangsungan dalam bidang perniagaan dan keusahawan, pembiayaan sebanyak
RM200 juta akan ditawarkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Selain itu, RM300 juta akan disalurkan kepada MARA di mana usahawan bumputera termasuk institut kemahiran yang terjejas boleh mendapatkan pembiayaan untuk modal kerja.

“Di samping itu, bagi membantu aliran tunai PKS, mulai awal Julai, SME Bank melalui Skim SME-GO akan menyediakan pembiayaan kepada 16,000 kontraktor Gred G2 dan G3 yang berkelayakan dan telah mendapat projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” ujarnya.

Beliau berkata, bagi memberi kemudahan kepada pihak kontraktor, tiada cagaran atau deposit perlu disediakan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here