
APA Khabar Orang Kita…ketika ini ramai yang menarik nafas lega kerana sudah ‘bebas’ seperti biasa dan tidak lagi terkurung atau terperap di dalam rumah ekoran pandemik Covid-19.
Tahniah kerajaan dansemua pihak yang bekerja keras untuk meletakkan Malaysia ke tahap ini namun, jangan mudah berasa selesa kerana virus Covid-19 masih berada disekeliling kita.
Sekarang masyarakat perlu buktikan tahap disiplin masing-masing dalam mematuhi garis panduan dan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dalam kehidupan norma baharu ini.
Jangan ambil mudah, setiap langkah perlu disulami dengan sikap berwaspada bagi mengelak virus ini terus merebak sekali gus memutuskan rantaiannya di Malaysia tercinta.
Sia-sia segala pengorbanan barisan hadapan dan para pemimpin sekiranya wabak ini kembali ‘menyerang’ hanya kerana sikap mengabaikan disiplin dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan laporan harian yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, ketika ini penularan Covid-19 membabitkan warga asing dan kes import.
Betul, ketika ini kurang kes membabitkan warga tempatan yang berada dalam Malaysia namun, kita perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak diri sendiri dan juga keluarga terpalit virus ini.
Disiplin sangat senang untuk disebut namun, agak sukar disematkan di dalam kepala mereka yang menganggap dirinya kebal. Contoh mudah ialah terbaharu libatkan aktiviti gunting rambut.
Semalam, sebanyak 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif Covid-19, sudah menjalani saringan dan diarahkan kuarantin di rumah.
Menurut Dr. Noor Hisham kontak rapat itu dikesan melalui panggilan telefon yang dibuat membabitkan empat rakan serumahnya serta pelanggan yang menggunakan khidmatnya.
Dalam kes ini, majikan tidak membuka premis sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula namun, pekerja itu menyediakan khidmat dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan.
“Pada 11 Jun, Pejabat Kesihatan Titiwangsa menerima satu notifikasi Covid-19 daripada sebuah hospital swasta, membabitkan lelaki warga Pakistan bekerja di sebuah kedai gunting rambut di Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal mendapati kedai gunting itu tidak beroperasi sejak bermulanya PKP pada 18 Mac lalu. Namun, lelaki itu memberi khidmat menggunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.
“Ada seramai 25 kontak rapat yang dikenal pasti setakat ini melalui rekod panggilan telefon iaitu empat orang rakan serumah dan 21 orang pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Ini contoh mudah yang perlu kita ambil iktibar, perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah sebelum ini memang dilarang kerana ada risiko namun, mereka ambil mudah.
Selepas ini, mari kita sama-sama berharap agar masalah pandemik Covid-19 ini akan terus lenyap di bumi Malaysia untuk kita kembali seperti biasa.
Biar Kita Menang Bersama-sama, Jangan Sesekali Menyerah…-MT