Fasa pertama hantar pulang PATI hari ini

0
303
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula hari ini dengan fasa pertama melibatkan 2,189 warga Indonesia yang berada di depot-depot Imigresen di Semenanjung dan Sarawak serta 672 orang di Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 

kumpulan pertama melibatkan 450 PATI dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya hari ini.

Tambah beliau, ia akan diikuti 10 Jun ini dan akan diikuti pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 PATI ke wilayah sama di Indonesia.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun ini.

“Fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Malaysia merakam penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas kerjasama yang telah diberikan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak  1 Mei sehingga semalam, seramai 393 PATI dan 72 tekong telah ditahan kerana mencuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus. 

Tambah beliau, turut ditahan 11 individu yang disyaki penyeludup serta 12 kapal. 

“Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 132 PATI, lima tekong serta 17 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara.

“Operasi bersepadu juga telah berjaya menahan 1,517 warganegara asing yang telah menceroboh sempadan negara,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencuba memasuki sempadan negara secara haram. 

“Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong-lorong tikus.

“Kerajaan Malaysia sentiasa memantau dan meningkat kawalan kawasan sempadan negara terutama lorong-lorong tikus,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here