
CYBERJAYA – Gergasi pengeluar kamera mirrorless, Fujilm baru-baru ini mengumumkan sumbangan kamera polaroid Instax untuk kegunaan hospital dan para doktor yang merawat kes Covid-19 di beberapa benua utama di dunia.
Program yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menawarkan kemudahan kepada para petugas kesihatan untuk merakam, mencetak dan melekatkan gambar pada pakaian perlindungan peribadi (PPE) mereka.
Penggunaan gambar polaroid pada PPE itu bertujuan membantu meningkatkan komunikasi antara pesakit dengan petugas kesihatan yang terbatas di sebalik pemakaian PPE.
Timbalan Presiden Pengimejan Fujifilm Eropah, Hiromoto Matsushima berkata, sumbangan itu membolehkan para petugas kesihatan berkongsi wajah sebenar antara mereka dan pesakit.
“Ini hanya sumbangan kecil Fujifilm untuk membantu mereka yang kami anggap wira dalam krisis kesihatan yang melanda dunia sekarang.
“Sehingga kini kami telah menyumbang 120 buah kamera dan 7,200 pencetak Instax kepada hospital di United Kingdom, Belanda, Turkey, Itali, Portugal, Sepanyol, Rusia, Perancis dan Denmark.
“Keutamaan diberikan kepada bahagian Unit Rawatan Rapi (ICU). Pihak pengurusan hospital yang mahu mendapatkan kemudahan ini boleh berhubung dengan Bahagian Komunikasi Korporat Fujifilm di wilayah berhampiran,” katanya. -MT
