Hanya undang-undang lebih ketat mampu bendung ‘kemalangan mabuk’

0
165
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pemimpin kerajaan perlu lebih bertanggungjawab untuk mengambil tindakan lebih tegas dan holistik termasuk menolak kepentingan peribadi dalam isu penjualan arak di negara ini.

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), mendesak kerajaan mengawal dan memperketatkan lesen penjualan minuman keras bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, usaha itu termasuk tindakan dalam bentuk pendidikan, perundangan dan hukuman yang setimpal untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai bahaya meminum arak dan mabuk di khalayak awam.

“Kita mahu kerajaan mengawal premis jualan minuman memabukkan secara ketat dan menghadkan lesen penjualan kepada jumlah tertentu sahaja berdasarkan populasi penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat.

“Jangan hanya kerana ada kepentingan ekonomi atau mahu menjaga kuasa, pemimpin-pemimpin kita tunduk kepada ketentuan golongan peniaga ,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Aminuddin turut menggesa kerajaan meminda undang-undang dan peraturan ke atas premis yang menyediakan minuman keras seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain supaya dapat memastikan pelanggan mereka tidak keluar dari premis dalam keadaan mabuk.

“Jika pelanggan mabuk, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku.

”Peraturan khusus bagi pemandu mabuk juga perlu dipinda yang menyebabkan masalah awam, kecederaan atau kematian bagi dikenakan tindakan ganti rugi untuk membaiki masalah awam, pengguna yang cedera dan keluarga mangsa yang maut,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menggubal hukuman yang lebih berat termasuk membatalkan lesen pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sama ada yang terlibat dalam kemalangan atau tidak.

Menurut beliau, kegagalan kerajaan memperketatkan undang-undang berkenaan penjualan arak itu tidak akan menyelesaikan masalah yang telah banyak mengorbankan mangsa tidak bersalah termasuk anggota pihak berkuasa. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here