
CYBERJAYA – Persatuan Pelancongan Langkawi menjangkakan kemasukan satu juta pelancong bermula 10 Jun sehingga penghujung Disember berikutan kebenaran beroperasi semula sektor pelancongan domestik negara.
Berikutan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, hotel-hotel di pulau peranginan popular negara itu pada petang tadi menerima purata 1,000 tempahan dalam masa kurang sejam.
Ketua Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, pengumuman kebenaran sektor itu beroperasi semula menyaksikan destinasi tumpuan di seluruh negara menerima tempahan mendadak.
Katanya, sektor perhotelan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19 seperti kembali bernafas selepas tiga bulan tidak beroperasi.
Pengumuman itu juga kata adalah permulaan positif bagi industri pelancongan untuk bangkit semula selepas impak pandemik Covid-19.
“Pada pukul 4 petang sehingga 4.45 petang tadi kita telah menerima sebanyak 1,000 tempahan dalam masa sejam selepas pengumuman.
“Ini adalah rekod, semua hotel-hotel telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya dalam temubual bersama Astro Awani hari ini.
Zainudin turut memaklumkan akan berjumpa dengan Menteri Pelancongan untuk mendapatkan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Misalnya kita ada sedikit kemusyilan, kita patut jawab (persoalan tentang) fasiliti-fasiliti yang boleh gunakan di hotel seperti kolam renang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, beberapa lokasi peranginan popular seperti Kereta Kabel Langkawi, Taman Tema Langkawi dan Taman Langkawi masih belum dibuka kepada umum pada 10 Jun ini.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini.
Keputusan itu memberi lebih banyak kelonggaran termasuk kebenaran rentas negeri dan pelancongan domestik namun harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sambutan mendadak dalam sektor itu turut dipengaruhi oleh larangan melancong ke luar negara yang masih berkuatkuasa dan penutupan pintu sempadan.
Penularan Covid-19 sejak Februari lalu menyaksikan sektor yang menjana pendapatan sebanyak RM86.14 bilion pada tahun lalu itu terjejas teruk dengan kebanyakan pengusaha hotel besar dan pengusaha pelancong terpaksa gulung tikar.