
CYBERJAYA- Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini mempengerusikan mesyuarat khas pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) khususnya Seksyen 41 hingga 45.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah atau memandu secara melulu dan merbahaya.
Apa yang pasti katanya, semua hukuman bagi kesalahan tersebut akan ditambahbaik dan ditingkatkan bagi memberi pengajaran serta menghindarkan gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya.
“Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai MOT untuk menyediakan satu Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan Kabinet pada bulan ini.
“Cadangan pindaan terhadap Akta 333 ini juga mengambilkira pandangan semua pemegang taruh termasuk orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial facebook miliknya hari ini.-MT