
CYBERJAYA – Lebih 300,000 golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM300 sebelum Hari Raya Aidiladha.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran itu akan disalurkan bagi meringankan beban kumpulan itu ketika negara berdepan wabak Covid-19.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti OKU dan ibu tunggal.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif ‘GLC (syarikat milik kerajaan) Penjana Komuniti’.
Katanya, tujuan program ini adalah menggalakkan GLC mengangkat sesebuah komuniti dan menjalankan usaha bagi membangunkan keupayaan sosio-ekonomi komuniti tersebut.
“Selain itu, kemudahan skim PEKA B40 akan diperkasakan dengan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.