Individu dikuarantin di rumah dilarang bersantai bersama keluarga, wajib asingkan diri

0
310
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Mana-mana individu yang perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di rumah diingatkan supaya tidak keluar daripada bilik dan bergaul dengan ahli keluarga yang lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

“Jadi saya suka menasihatkan mereka yang baru pulang dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib patuh pada SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar harian selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun ujian saringan Covid-19 mereka negatif, sebenarnya mereka belum bebas sepenuhnya dan perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13.

“Buat kawalan kendiri di rumah dan jika mengikut prosedur operasi standard mereka yang dikuarantin tidak boleh makan, menonton televisyen atau bersantai bersama keluarga.

“Amalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan jika boleh duduk di dalam bilik masing-masing dan makanan dihantar oleh ahli keluarga di pintu bilik,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, semalam seramai 478 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Bangladesh, Hong Kong, Mesir, India, Indonesia dan Brunei.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 475 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tiga individu lagi dihantar ke hospital.

“Seramai 270 individu juga tiba melalui pintu masuk di negeri Johor dan diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here