
CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob kesal apabila dirinya turut menjadi mangsa penyebaran berita palsu sehingga boleh merenggangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata, berita palsu tersebut yang mendakwa beliau tidak mengalu-alukan kemasukan rakyat Singapura ke Malaysia adalah tidak benar kerana sehingga sekarang negara masih belum membuka pintu sempadannya.
“Berita palsu itu kononnya menyatakan Malaysia tidak mengalu-alukan rakyat Singapura ke Malaysia. Ini boleh mengeruhkan hubungan baik negara sahabat Malaysia dan Singapura.
“Sedangkan Malaysia pada masa ini menutup pintu masuk ke negara ini kepada semua negara termasuk Singapura. Berita itu juga menyatakan saya kata warga Singapura tidak boleh masuk jika hanya untuk mengisi petrol, cuci kereta dan makan malam.
“Ini satu berita yang sangat jahat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, beliau juga sudah membuat laporan polis berhubung berita palsu yang mengaitkan namanya itu.
Pada masa sama, katanya, laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung penyebaran berita palsu itu.-MT