Istilah korporat TNB mengelirukan pengguna – Cuepacs

0
191

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan istilah korporat iaitu kaedah bacaan prorata bagi pengiraan bil elektrik yang digunakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengelirukan dan sukar difahami pengguna.
Presidennya, Adnan Mat berkata, berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh pihak TNB, cara pengiraan bil elektrik sebenar bukan dibuat secara sekali gus untuk tiga bulan sehingga menyebabkan bil menjadi tinggi seperti yang tular di media sosial.

“Salah faham ini kemungkinan berlaku disebabkan penggunaan istilah korporat yang digunakan iaitu kaedah bacaan prorata sehingga sukar difahami banyak pihak.

“Cuepacs berharap TNB dapat menggunakan istilah atau penyampaian yang lebih mudah difahami pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Memetik laporan Bernama, Adnan berkata, TNB turut menjelaskan peningkatan bil berlaku disebabkan trend penggunaan elektrik yang sememangnya meningkat kerana keberadaan pengguna di rumah sepanjang masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Menurut Adnan, pertemuan pihak Cuepacs dengan TNB hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Noor Afifah Abdul Razak, adalah bagi membincangkan isu peningkatan bil elektrik yang disuarakan oleh rakyat.

Beliau berkata, Cuepacs diberikan taklimat mengenai cara pengiraan bil TNB ketika PKP, trend penggunaan elektrik, inisiatif pelan bayaran mudah serta isu bil elektrik yang tinggi diterima oleh rakyat sepanjang tempoh PKP sebelum ini.

“Melalui pertemuan itu, Cuepacs berpuas hati dengan penerangan yang diberikan terutama membabitkan cara pengiraan bil TNB sewaktu PKP yang disemak dan dipersetujui Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs juga berharap TNB serta kerajaan selaku pembuat dasar dapat menilai kembali pemberian diskaun bayaran TNB kepada pengguna sepanjang tempoh PKP berlangsung.
Katanya, Cuepacs berpandangan pemberian diskaun perlu dinilai semula supaya inisiatif itu dapat membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here