
KUALA LUMPUR- Sektor perhotelan di Malaysia yang dibuka semula bermula semalam kini dilihat kembali rancak menerima tempahan.
Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan kerana setiap hotel telah diberikan garis panduan yang perlu dipatuhi.
Seorang penyelia hotel yang beroperasi di Cheras yang mahu dikenali sebagai Calvin berkata, keselamatan pelanggan diutamakan.
Katanya, sebelum hotel dibenarkan beroperasi semula, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengeluarkan garis panduan.
“Garis panduan tersebut termasuk memastikan hotel yang dijadikan pusat kuarantin disanitasi terlebih dahulu selain sanitasi yang berjadual.
“Bagi hotel kami, ia akan dibersihkan sentiasa agar tiada penularan. Pelanggan juga perlu memberi kerjasama untuk diambil suhu badan.
“Sekarang kita sudah mula terima tempahan, perjalanan rentas negeri juga telah dibuka. Ia sedikit sebanyak membantu industri,” katanya.
Sementara itu, penyambut tetamu di sebuah hotel, Iman Natasya Mohd. Imran, 26, berkata, bermula semalam telah ramai pelanggan yang membuat tempahan.
“Sebelum ini hotel tidak beroperasi dan dijadikan pusat kuarantin. Kami hanya lakukan kerja-kerja pengurusan selain urus mereka yang dikuarantin.
“Pihak pengurusan sebelum ini telah arahkan agar proses sanitasi dilakukan di semua kawasan termasuk bilik, jadi tiada isu keselamatan timbul,” katanya.
Baru-baru ini kementerian terbabit telah mengeluarkan garis panduan terperinci bagi beberapa sektor kebudayaan dan perhotelan di seluruh negara. -MT