Jawatan PM lebih diutamakan PH berbanding kepentingan rakyat

0
188
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Dari awal mengambil alih kerajaan 10 Mei 2018 sehingga tumbang pada 24 Februari lalu, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah selesai membincangkan calon Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PH langsung tidak memikirkan masalah rakyat sebaliknya mementingkan diri sendiri dengan perebutan jawatan sesama mereka.

Sepatutnya kata beliau, dengan barisan kepimpinan PH yang hebat seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan ramai lagi, sepakat memikirkan hala tuju rakyat dan negara, tetapi sebaliknya berlaku.

“Ketika dalam kerajaan pun mereka membincangkan isu calon Perdana Menteri, siapa selepas Tun Dr. Mahathir dan selepas kerajaan PH jatuh pun isu calon Perdana Menteri juga jadi topik perbincangan.

“Rakyat dibiar terkontang kanting tanpa hala tuju kehidupan yang lebih jelas dan kini ketika negara serta dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 pun tidak ada apa yang PH dapat bantu dan sumbangkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette hari ini.

Beliau seterusnya mempersoalkan, apakah wajar PH membincangkan isu itu ketika rakyat makin dihimpit kesusahan, resah mengenangkan hala tuju kehidupan saat kini dan pasca Covid-19 nanti.

Katanya, ramai rakyat hilang punca pendapatan akibat ditamatkan pekerjaan sama ada bertaraf tetap mahupun kontrak.

“Tergamakkah kepimpinan PH membincangkan isu calon Perdana Menteri kesembilan ketika nasib ribuan peniaga berada dalam keadaan getir bukan sahaja tidak dapat beroperasi sebagaimana biasa, jualan mereka juga terjejas teruk.

“Ini disebabkan kuasa berbelanja dalam kalangan rakyat makin terbatas akibat pandemik Covid-19,” katanya

Difahamkan, timbul spekulasi mendakwa kononnya PH dan sekutunya telah memperoleh sokongan 129 Ahli Parlimen, membolehkan mereka kembali ke Putrajaya.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih mahu menjadi Perdana Menteri dan bakal melantik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai timbalannya, sekali gus menafikan hak Anwar yang bercita-cita mahu jawatan Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here