Keperibadian isteri berubah 360 darjah sebelum dijemput ilahi

0
314

TEMERLOH- Keperibadian dan perwatakan Allahyarhamah Rabiatul Adawiyah Ahmad, 42, berubah 360 darjah dalam masa empat bulan sebelum pemergiannya pada April lalu.

Berkongsi perkara itu, suami Rabiatul Adawiyah, Mohamad Hafiz Mahusani berkata, segalanya berubah selepas isterinya disahkan menghidap penyakit jantung bengkak pada awal Januari.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja disedari oleh ahli keluarga terdekat tetapi isterinya itu turut berkongsi masalah dan apa yang dirasakannya kepada jururawat di hospital.

“Beliau (Rabiatul Adawiyah) sebenarnya seorang yang peramah dan suka bertegur sapa. Selepas sakit, segala-galanya berubah dia seperti bukan dirinya sendiri. Perwatakannya lain sangat.

“Apa yang disukakannya sebelum ini menjadi perkara yang tidak disukai. Contohnya tempat yang kami sekeluarga suka makan, dia dulu suka tetapi bila sakit jadi tidak suka,” katanya.

Mohamad Hafiz berkata, beliau dan anak-anak menerima ketentuan ilahi walaupun pemergian Rabiatul Adawiyah sememangnya memberi kesan mendalam dalam kehidupan mereka.

“Isteri saya berkhidmat sebagai guru selama 15 tahun, sekolah terakhir ialah di Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal Temerloh Pahang dan mengajar dalam bidang agama Islam.

“Pemergianya dalam bulan yang mulia Ramadan. Hari raya tahun ini ada beri kesan namun, kami datang dari keluarga besar dan kesuyian itu ada terubat bila ada ramai orang.

“Apa yang saya rasa sekarang amat lain, dahulu isteri ada sediakan sarapan untuk saya dan anak-anak. Sekarang lain pula, saya perlu pastikan makan dan minum anak-anak sentiasa tersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis penyerahan Khairat Kematian sebanyak RM8,000 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Temerloh baru-baru ini.

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat yang turun padang untuk menziarah keluarga ahli yayasan.

Menurut Mohamad Hafiz, beliau hanya tahu Rabiatul Adawiyah menyertai YGMB melalui penolong kanan Sekolah Kebangsaan Kuala Tekal selepas pemergiannya isterinya itu.

“Selepas dapat tahu isteri menjadi ahli YGMB, saya menghubungi wakil yayasan iaitu Encik Suhaimi untuk memaklumkan keadaan kami dan Alhamdulillah sumbangan itu ada.

“Terima kasih kepada YGMB di atas keprihatinan ini, saya harap semua dapat doakan yang terbaik untuk Allahyarhamah isteri saya dan doakan juga YGMB terus berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, beliau mengambil inisiatif untuk mengunjungi sendiri keluarga penerima manfaat kebajikan YGMB bagi bertanya khabar mereka.

“Ikutkan kita boleh agihkan sumbangan ini menerusi dalam talian sahaja tetapi, bagi saya ini adalah cara terbaik. Kita dapat bertegur sapa dan bertanya khabar mereka secara terus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here