
CYBERJAYA – Kerajaan akan menentukan status jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji tahun ini minggu depan selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.Â
Beliau berkata, mesyuarat berkaitan status itu diadakan baru-baru ini bersama Tabung Haji yang merupakan penyelaras jemaah Malaysia.
“Hasil mesyuarat tersebut akan dibentangkan dalam Kabinet kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Keputusan perbincangan akan diumumkan pada minggu hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan dalam akaun Twitter miliknya.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sebarang keputusan membenarkan jemaah Malaysia pada musim ini bergantung pengumuman Kerajaan Arab Saudi.
Menurut Ismail Sabri, Malaysia akan menunggu pengumuman Kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu, sama ada umat Islam dibenarkan untuk menunaikan haji tahun ini atau sebaliknya.
Kata Ismail Sabri, sebaik saja Arab Saudi membuat pengumuman itu, kerajaan akan berbincang mengenainya dan keputusannya akan diumumkan oleh Zulkifli.
Semalam, Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia tidak menghantar bakal jemaahnya menunaikan fardu haji ke tanah suci musim ini berikutan krisis wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.
Menterinya, Fachrul Razi berkata, keputusan itu dibuat berikutan mereka tidak mempunyai masa mencukupi melakukan persiapan menghantar jemaah ke Tanah Suci. – MT