
CYBERJAYA – Keputusan sama ada solat Jumaat dan berjemaah dibenarkan diadakan di masjid seluruh negara akan ditentutkan Khamis ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, pengumuman tersebut akan dibuat pada tarikh berkenaan selepas mengadakan perbincangan bersama dengan pihak berkaitan.
“Kita buat perbincangan secara khusus dengan pihak berautoriti dan ada kena mengena dengan dasar yang ingin diputuskan. Insya-Allah pada Khamis ini kita akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan kad laporan bagi Mei dan pelancaran laman web rasmi menteri seperti dipetik portal Sinar Harian di Putrajaay hari ini.
Ditanya mengenai nasib 31,000 bakal jemaah untuk menunaikan ibadah haji musim ini, beliau berkata, kerajaan akan membuat keputusan pada hari sama.
“Untuk haji pun sama. Kita akan umumkan hari Khamis ini,” katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP bagi menggantikan PKPB dalam strategi negara memerangi pandemik Covid-19.
PKPP menyaksikan hampir keseluruhan sekatan yang dibuat sebelum ini telah dibuka semula.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan hanya tujuh kes positif Covid-19 di negara ini direkodkan dan merupakan angka terendah sejak gelombang kedua wabak tersebut melanda negara pada Mac lalu.