Kerajaan digesa wujudkan garis panduan jualan perisa e-rokok

0
299

KUALA LUMPUR – Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) mencadangkan kerajaan mewujudkan satu garis panduan berhubung penjualan cecair berperisa untuk rokok elektronik (e-rokok) bagi mengelakkan pengusaha mengalami kerugian.

Presidennya Allan Foo berkata, garis panduan itu perlu diadakan sebelum sebarang operasi ke atas penjualan cecair itu dijalankan.

“Jika tahap nikotin yang membimbangkan, kami berpendapat kerajaan harus memberikan polisi atau garis panduan kandungan nikotin yang boleh dijadikan piawaian khususnya kepada penjual cecair berkenaan,” katanya pada sidang media dipetik Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan memulakan operasi pada Khamis lalu mengesan penjualan nikotin secara terbuka di seluruh negara dan sejumlah cecair perisa vape dirampas mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983.

Di bawah Akta Racun 1952, nikotin diletakkan sebagai racun kategori C yang hanya boleh dijual atau dibekalkan sebagai ubat atau bahan dalam ubat oleh pengamal perubatan berdaftar.

Foo berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi berkongsi pengetahuan mengenai kandungan cecair berperisa untuk e-rokok.

Katanya setakat ini, terdapat lebih 1,000 kedai yang menjual cecair vapor di seluruh negara.

Beliau berkata tindakan merampas cecair berkenaan boleh memberi kesan kepada pengusaha kecil yang menjalankan perniagaan itu.

“Pengusaha cecair vape membelanjakan kira-kira RM25 bagi menghasilkan 30 mililiter (ml)cecair perisa vape…mereka harus menanggung kerugian yang besar jika ia dirampas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here