
CYBERJAYA – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya meminta agar kerajaan meneliti semula pelantikan Eric Paulsen di dalam Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).
“Saya sebenarnya terkejut, apabila Eric Paulsen yang merupakan individu yang sangat terkenal dengan imejnya yang membenci kepentingan Islam, dan pernah mengeluarkan kenyataan bersifat rasis dan ektremis baru-baru ini dilantik oleh kerajaan di bawah pemerintahan Perikatan Nasional ke dalam Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) yang baru sahaja dibentuk.
“Apabila difikirkan semula, tidaklah terlalu hairan kerana Menteri Komunikasi sekarang adalah Datuk Saifuddin Abdullah, yang merupakan bekas Menteri Luar ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan dahulu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kepentingan kerajaan melantik individu tersebut memandangkan Eric juga masih berperanan sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
“Apa istimewanya sangat Eric Paulsen ini? Apakah kepentingan atau ‘jasa’ Eric Paulsen kepada Datuk Saifuddin Abdullah?
“Jangan lupa bahawa Saifuddin Abdullah adalah antara mereka yang terkuat menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)
bagi pihak Pakatan Harapan dahulu. Jangan pernah kita lupa akan fakta ini,” katanya.