
CYBERJAYA – Kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha
mendorong perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada khidmat digital atau dalam talian.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui geran padanan sebanyak RM140 juta, kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan. Inisiatif ini akan diterajui oleh Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.
“Kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta akan menjalankan kempen ‘Shop Malaysia Online’ bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang sebagai permulaan,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM70 juta akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang.
Katanya lagi, bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan atau ‘mid-tier companies’, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.
“Ini termasuklah pertama RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.
“Kedua RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai
pinjaman mudah; dan ketiga RM100 juta Geran Automasi Pintar di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta,” katanya.