Kerugian akibat penipuan jualan penutup muka mencecah RM2.5 juta

0
106

CYBERJAYA- Peningkatan kes penipuan berkaitan jual beli penutup muka di ibu negara amat membimbangkan dengan 87 kes dilaporkan sejak Januari sehingga Mei lalu membabitkan kerugian mencecah RM2.5 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, peningkatan mendadak kes itu berpunca daripada pihak yang mengambil kesempatan melakukan penipuan penjualan penutup muka secara dalam talian susulan penularan wabak Covid-19.

“Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu menunjukkan sebanyak 87 kes penipuan direkodkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM2.5 juta.

“Susulan siasatan yang dijalankan, sebanyak 41 suspek sudah pun ditangkap dan 14 kes sudah dituduh di mahkamah dalam tempoh sehingga 1 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, susulan peningkatan kes yang membimbangkan itu, orang ramai khususnya warga kota dinasihatkan agar mengamalkan langkah tertentu untuk mengelak menjadi mangsa penipuan sedemikian.

“Jika mahu membuat pembelian secara dalam talian, pastikan membeli daripada penjual yang disahkan.

“Semakan akaun bank penjual boleh dibuat menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan status penjual atas talian boleh disemak menerusi http://biztrust.ssm.com.my.

“Elakkan berurusan dalam laman web yang mencurigakan dan semaklah ulasan dan komen daripada pembeli lain. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran menarik dan murah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mahu menyalurkan maklumat, boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here