Kes pemandu mabuk bak pembunuhan bersiri!

0
303

Oleh SITI AZIELAH WAHI

KUPAS BAWANG

SATU persatu episod kemalangan maut angkara pemandu mabuk terjadi kebelakangan ini menjadikan masyarakat semakin resah gelisah ibarat nyawa di hujung tanduk seolah-olah diburu pembunuhan misteri.

Lebih menakutkan apabila berada di jalan raya waima berjalan kaki di tepi jalan kecil, nyawa masyarakat masih terancam kerana tidak tahu bila-bila masa boleh menjadi mangsa pemandu mabuk.

Statistik polis menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama tahun ini dengan lapan mangsa kehilangan nyawa.

Jumlah kemalangan maut yang melibatkan pemandu yang mabuk sepanjang Januari hingga Mei 2020 itu sahaja, sama dengan jumlah kes sepanjang 2019.

Berhentilah mengatakan meminum arak merupakan ‘hak bukan Islam’ kerana tidak haram di sisi agama lain.

Namun agama mana membenarkan penganutnya membinasakan diri dan orang lain?

Apa yang jelas, arak itu membinasakan, merosakkan kesihatan, keluarga dan masyarakat.

Sungguh, arak adalah ‘ibu segala kejahatan’. Kerana berpunca daripada arak, akan melahirkan penjenayah pembunuhan, pemerkosaan, penzinaan dan selain menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit mental dan fizikal.

Syukurlah, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Namun pemimpin agama lain selain Islam perlu menyokong dan bersama-sama mendidik penganut masing-masing untuk menolak arak demi kesejahteraan kita bersama.

Nampaknya Kementerian Wilayah Persekutuan juga tidak menolak kemungkinan akan membekukan semua aktiviti membabitkan pengeluaran dan penjualan arak berikutan kekerapan kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.

Pada masa sama, suara-suara NGO yang bangkit menggesa supaya penjualan arak diharamkan terus di Malaysia mungkin wajar dipertimbangkan.

Kalau di Taiwan, kemalangan yang sebegini sehingga melibatkan kematian bererti pemandu tersebut akan menerima hukuman mati.

Kerajaan mesti membuat keputusan terbaik, bijak dan berkesan untuk rakyat Malaysia supaya kemalangan seumpama ini tidak berulang.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here