
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dalam bidang kewartawanan yang memainkan peranan sangat besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar Covid-19 kepada masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam pada petugas kesihatan dan lain-lain anggota barisan hadapan bertungkus lumus membendung penularan virus Covid-19, pengamal media dan wartawan juga memainkan peranan utama memberi maklumat sahih serta memerangi berita palsu Covid-19.
Menurutnya, ini termasuk tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio, misalnya penyunting, juruberita, petugas media sosial dan sebagainya.
“Bagaimanapun berita palsu serta maklumat tidak sahih merebak lebih pantas dalam kalangan masyarakat berbanding penularan virus Covid-19 sendiri.
“Atas sebab itu, KKM bukan sahaja perlu memerangi wabak Covid-19 di negara ini, tetapi turut memerangi infodemik berkaitan virus berkenaan dan kedua-duanya harus ditangani secara serentak,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sejak awal wabak Covid-19 lagi, pihaknya sudah berdepan cabaran memerangi virus dan ‘viral’.
“Virus yang kita hadapi adalah virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan Covid- 19.
“Isu ‘viral’yang dimaksudkan pula adalah penularan berita palsu serta maklumat tidak sahih yang merebak dalam masyarakat lebih pantas daripada penularan virus Covid-19 itu sendiri.