Kunjung mengunjung Aidilfitri punca kluster pangsapuri Cheras

0
236

CYBERJAYA- Kluster baharu Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini merupakan seorang pelajar tahfiz selepas saringan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun katanya, melalui penyiasatan yang telah dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Sehingga kini, terdapat enam kes di dalam kluster ini iaitu tiga kes yang merupakan penghuni pangsapuri tersebut, dan tiga kes lain di luar kawasan pangsapuri.

“Mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif. Kes-kes positif kluster ini adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan adalah berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, siasatan dan saringan kontak rapat bagi keenam- enam kes tersebut telah dijalankan dan setakat ini seramai 120 orang telah dikenal pasti dan disaring.

“Hasil saringan enam positif Covid-19, 76 kes negarif dan 38 lagi masih menunggu keputusan. Selain tindakan ‘Active Case Detection’ yang telah mula dilaksana di pangsapuri tersebut, beberapa langkah kawalan penularan jangkitan turut giat dijalankan.

“Antaranya, pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyah kuman dan nyah cemar, hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan seperti amalan 3W dan elakkan 3S,” katanya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here