Lebih 300 tekong bot dikenalpasti jadi pengkhianat bawa masuk PATI

0
444
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Rakyat tempatan yang terlibat dalam industri maritim diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan pihak asing bagi menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara.

Menurut National Task Force (NTF) dalam satu kenyataan, amaran tersebut ditujukan khas kepada nelayan, pemilik dan operator bot serta pemancing.

Katanya, mereka yang didapati bersalah bersubahat menjadi dalang dan tekong menguruskan penyeludupan PATI boleh dikenakan tindakan tegas.

“Mereka boleh didakwa mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selain berdepan dengan tindakan pembatalan lesen menangkap ikan, memancing dan lesen mengoperasikan bot penumpang atau rekreasi,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, sehingga kini lebih 300 tekong dan dalang warga tempatan telah dikenalpasti terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI dan sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Katanya, tindakan penguatkuasaan tersebut bukan sahaja tertumpu di kawasan perairan negara malah termasuk sempadan negara.

“NTF menerusi Ops Benteng akan mengempur sehingga ke akar umbi bagi memastikan tiada pendaratan PATI khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengelak risiko jangkitan wabak Covid-19 serta tiada pelanggaran undag-undang dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here