Lelaki tempatan cuba rompak bank, jadikan wanita sebagai tebusan mati ditembak

0
668
Suspek lelaki yang cuba merompak sebuah bank di Kota Tinggi mengacukan sabit pada seorang pelanggan wanita

KOTA TINGGI – Seorang lelaki berusia 19 tahun yang cuba merompak sebuah bank di daerah tersebut dengan bersenjatakan sebilah sabit maut ditembak oleh pengawal keselamatan.

Dalam kejadian pukul 2 petang tadi, lelaki tersebut turut menjadikan salah seorang pelanggan wanita bank itu sebagai tebusan

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, suspek yang juga lelaki tempatan masuk ke kawasan perkhidmatan bank dan mengacukan senjata di leher seorang wanita tempatan yang juga pelanggan bank terbabit.

“Bertindak atas keselamatan pelanggan dan pekerja bank, pegawai keselamatan yang bertugas melepaskan tembakan menggunakan ‘pump gun’.

“Tembakan itu mengenai rusuk kanan suspek. Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ashmon, mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam insiden itu tiada sebarang kecederaan pada orang awam termasuk tebusan mahupun pekerja bank.

Mengulas lanjut, Ashmon berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, petang tadi tular beberapa klip video termasuk satu video yang menunjukkan seorang wanita dijadikan tebusan oleh suspek berkenaan.

Turut kelihatan beberapa penduduk yang menunggu di bahagian depan dan belakang bank tersebut supaya perompak berkenaan tidak terlepas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here