
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghulurkan sumbangan bantuan
berjumlah RM88,800 kepada peniaga kecil bukan asnaf di Selangor berikutan penularan wabak Covid-19 dan terjejas punca pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Setiausaha MAIS, Dr.Ahmad Shahir Makhtar, seramai 296 peniaga kecil bukan asnaf telah dikenal pasti menerima sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM300 setiap seorang.
“Agihan sumbangan ini telah dilaksanakan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), iaitu anak syarikat MAIS.
“Pembayaran sumbangan ini telah selesai dikreditkan ke dalam setiap akaun penerima masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Shahir berkata, kelayakan bagi penerima bantuan tersebut adalah peniaga-peniaga kecil yang bukan asnaf di bawah kategori B40.
Jelasnya lagi, bantuan yang disalurkan itu adalah hasil daripada Tabung Prihatin Covid-19
MAIS.
“Pihak MAIS berharap dengan bantuan yang telah disalurkan ini dapat meringankan beban
mereka terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan dan hilang punca
pendapatan akibat pelaksanaan PKP.
“Pihak MAIS juga turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama kepada
penyumbang Tabung Prihatin Covid-19 MAIS dalam menyampaikan bantuan kepada
golongan memerlukan dan semoga sumbangan yang diberikan ini akan mendapat
ganjaran oleh Allah SWT,” katanya. – MT