Majikan paksa pekerja kuarantin satu kesalahan

0
273

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majikan yang melaksanakan peraturan sendiri tanpa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah satu kesalahan.

Beliau membuat kenyataan itu berhubung tindakan sesetengah majikan yang mewajibkan pekerja menjalani kuarantin wajib selama 14 hari setelah pulang dari pergerakan merentas negeri sama ada atas urusan kerja atau peribadi menggunakan cuti tahunan atau bercuti tanpa gaji.

“Tindakan tersebut tidak dibenarkan sebab peraturan yang dikeluarkan MKN, mereka yang perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari adalah rakyat yang pulang dari luar negara.

“Beberapa negeri seperti di Sabah dan Sarawak, rakyat yang pulang dari Semenanjung juga dikuarantin wajib. Tapi di Semenanjung, rentas negeri kita tidak benarkan dan ini termasuklah rentas daerah.

“Walaupun kita tidak benarkan tapi yang mendapat kebenaran polis merentas negeri tidak diwajibkan membuat kuarantin 14 hari,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, tindakan sesetengah majikan itu hanyalah tindakan majikan itu sendiri tanpa mengikut peraturan yang disediakan MKN.

“Mereka pandai-pandai buat sendiri. Menjadi satu kesalahan apabila memaksa pekerja di kuarantin di mana tempoh masa itu dikira sebagai cuti tanpa gaji.

“Saya kira kalau ada peraturan di bawah Kementerian Sumber Manusia maka kementerian boleh ambil tindakan terhadap majikan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here