
CYBERJAYA – Masih terdapat pembayaran
khas RM600 secara ‘one-off’ yang akan diberikan kepada pemandu pelancong tertangguh untuk 1,868 daripada 8,323 penerima disebabkan maklumat bank tidak tepat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mereka yang layak tetapi masih belum mendapat bayaran boleh menuntut pembayaran secara tunai di kaunter BSN mulai 15 Jun ini.
Pada masa sama dalam perkongsian khas menerusi akaun Facebook rasminya mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam akaun Facebook miliknya hari ini, beliau turut berkongsikan perkembangan mengenai program Geran Khas Hasanah yang dilancarkan pada 14 April lalu oleh Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah.
Katanya lagi, geran khas itu adalah bagi menyokong program sosial yang boleh meningkatkan kualiti hidup serta memulihkan ekonomi kumpulan sasaran termasuk komuniti B40, komuniti mudah terjejas, orang asal, warga emas, gelandangan, kanak-kanak yang berisiko, wanita, belia dan orang kurang upaya dari seluruh Malaysia.
“Sukacita saya maklumkan bahawa setakat 6 Jun lalu, 19 projek sosial sudah diluluskan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.6 juta diagihkan.
“Antara projek yang telah diluluskan adalah projek penanaman sayur-sayuran secara lestari alam dan penyalurannya kepada pengguna dari Padawan ke Kuching, Sarawak,” katanya.