Malaysia tekad hantar semula pelarian Rohingya

0
246
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan tekad menghantar semula pelarian Rohingya ke Bangladesh dan beberapa negara ketiga yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 (Refugees Convention 1951).

Menurutnya, kerajaan tidak akan menerima atau berlembut lagi dengan isu kemasukan pelarian etnik itu sama ada mereka terkandas di laut atau darat.

” Kementerian Luar Negeri akan berbincang dengan kerajaan Bangladesh untuk menempatkan kumpulan pelarian  yang cuba memasuki perairan negara ini dengan modus operandi menebuk dan merosakkan enjin bot dinaiki mereka.

“Kita bertegas kali ini. Kita tidak boleh terima mereka lagi. Kita akan bincang dengan kerajaan Bangladesh atau kerajaan di mana pelarian ini datang, untuk hantar balik atau hantar ke negara ketiga yang tandatangani Konvensyen Pelarian 1951,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Tegas Ismail Sabri lagi, kepada pelarian etnik Rohingya, jangan anggap negara terima mereka.

“Tidak, kita akan hantar balik atau serahkan kepada negara ketiga yang sebelum ini lantang menuduh Malaysia tidak berperikemanusian.

“Apabila kita hantar kepada negara ini, mereka akan rasai sendiri apabila berdepan dengan isu pelarian,” katanya.

Semalam, seramai 269 etnik Rohingya yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar, berjaya mendarat di Langkawi.

Daripada jumlah itu, polis menemui satu mayat etnik Rohingya yang dikatakan bersama 53 rakannya terjun ke laut selepas bot mereka karam yang dipercayai sengaja dibocorkan untuk membolehkan mereka diterima di negara ini.

Menurut Ismail Sabri, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah membuat kenyataan mengesahkan ada kemasukan sekumpulan pelarian etnik Rohingya.

Katanya, modus operasi mereka telah menyusahkan pihak berkuasa negara, iaitu sebaik memasuki perairan Malaysia, kumpulan itu menebuk perahu dan merosakkan enjin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here