Malaysia tidak mampu lagi tampung kehadiran pelarian Rohingya

0
219
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak lagi mampu menampung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dari wilayah Rakhine, Myanmar berikutan keadaan sumber dan kapasiti yang tidak mengizinkan di samping berlakunya pandemik Covid-19.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu, ASEAN digesa supaya mencari penyelesaian bersama bagi mengatasi krisis tersebut.

“Walaupun, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar.

“Tetapi situasi ini tidak boleh berterusan selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang pertama kali diadakan secara maya hari ini ekoran pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, adalah tidak adil juga, Malaysia diharapkan melakukan lebih banyak usaha untuk menampung kedatangan pelarian ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia secara konsisten menyokong usaha penyelesaian jangka panjang dan berkekalan terhadap penderitaan etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang dilakukan.

Beliau berkata, ini kerana pelarian dari wilayah tersebut terdedah kepada eksploitasi termasuk jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan.

“Penafian dan kekecewaan boleh mendorong mereka direkrut oleh kumpulan pengganas dan puak pelampau yang berdiam diri semasa pandemik ini.

“Sikap berdiam diri mereka tidak boleh dianggap sebagai tidak ada apa-apa berlaku kerana kumpulan itu masih boleh menimbulkan ancaman keselamatan yang serius terhadap rantau ini,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, Malaysia menjadi sasaran pelarian Rohingya untuk menyeludup masuk dengan bantuan sindiket antarabangsa dan tempatan.

Terbaharu, sebuah bot yang membawa 216 pelarian dan satu mayat dengan sengaja dibocorkan supaya mereka tidak diarahkan berpatah balik.

Bagaimanapun, mereka telah diselamatkan dan ditahan oleh pasukan keselamatan di Langkawi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here