
CYBERJAYA – Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah bermula esok dengan mengikut garis panduan ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan bersolat adalah mengikut keluasan bilangan satu pertiga had kapasiti bagi dewan solat utama.
“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Dalam pada itu, katanya, jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau juga dibenarkan melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat.
Beliau berkata, pihak berkenaan boleh menggunakan sistem penggiliran atau apa juga cara bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.
Katanya, kapasiti tersebut akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.-MKN