MBSP kembang teknologi kompos guna lalat

0
182
Rozali Mohamud

KEPALA BATAS – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan pengumpulan sisa organik untuk tujuan pengkomposan dengan menggunakan lalat yang dikenali sebagai ‘Black Soldier Fly’.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, projek itu merupakan hasil usaha sama antara MBSP, Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, kaedah itu diguna pakai bagi mengaktifkan program ekonomi sekular dengan mengurangkan penghasilan karbon, penggunaan tenaga dan bahan kimia dalam menguruskan sisa organik di daerah itu.

“Di pasar-pasar lain, kita menggunakan jentera untuk memproses sisa organik menjadi bahan kompos dalam 48 jam namun ia masih akan menghasilkan karbon.

“Kita sudah menggunakan kaedah mekanikal, konvensional dan kini menggunakan kaedah natural dalam menghasilkan kompos.

“Larva Black Soldier Fly memainkan peranan sebagai pengurai sisa organik kepada kompos yang kaya dengan mineral, mikronutrien dan mikrob yang berfaedah,” katanya memetik laporan Bernama selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengumpulan Sisa Organik Pasar Awam Kepala Batas di sini.

Beliau berkata, sebagai permulaan, sebanyak empat tong pengumpulan sisa organik akan ditempatkan di Pasar Awam Kepala Batas bagi memudahkan peniaga membuang sisa-sisa sayuran sebelum dipungut oleh kakitangan Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn Bhd untuk dibawa ke tapak pemprosesan yang terletak di Tasek Gelugor berkeluasan 0.4 hektar.

Rozali berkata, usaha itu bakal membantu MBSP mencapai sasaran untuk menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2022, bandar sifar karbon pada tahun 2030 dan bandar neutral karbon menjelang tahun 2050.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Syarikat Al-Ansar Integrated Sdn Bhd, Ansaruddin Othman berkata, spesies lalat yang digunakan dalam usaha itu adalah bebas daripada pembawa virus e-coli, salmonela dan antifungus.

“Jangka hayat lalat ini hanya lima hari kemudian ia akan mati. Kita ternak (lalat) untuk penghasilan larva bagi tujuan pengkomposan. Hasil kompos diperoleh daripada sisa kumuhan larva yang memakan sisa organik tersebut,” katanya.

Selain itu, Ansaruddin berkata, larva yang sama digunakan sebagai sumber makanan haiwan ternakan kerana ia mempunyai kandungan protein yang tinggi.

Selain itu, ia mampu merangsang sistem imun, meningkatkan kualiti haiwan ternakan, rasa daging yang lebih enak serta bebas kimia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here