Melaka, Negeri Sembilan, Pahang negeri tertinggi cubaan rentas sempadan negeri

0
254
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang mendahului ‘carta’ tertinggi kesalahan cubaan merentas sempadan negeri sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga negeri berkenaan masing-masing mencatatkan 16, sembilan dan lapan kes dalam pemantauan oleh 3,995 Pasukan Pematuhan melibatkan 20,937 anggota semalam.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 75,186 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“PDRM juga telah mengenakan 133 Sekatan Jalan Raya (SJR) rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 277,002 kenderaan berbanding 290,432 kenderaan hari sebelumnya,” katanya dalam kenyataan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dalam sekatan jalan raya itu sebanyak 37 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran manakala 67 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

“Daripada jumlah itu, seramai 66 individu direman manakala 1 individu dijamin polis,” katanya.

Beliau berkata, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 144 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here