MAAF. Perkataan yang mudah dieja tetapi sukar dibuat. Memohon maaf dan memaafkan, dua perkara paling berat untuk dilakukan walaupun dalam keterpaksaan. Padahal kata maaf itu mudah dilafazkan sekiranya kita berlapang dada.
Lebih-lebih lagi Nabi Muhammad SAW sendiri mendidik umatnya supaya sentiasa memaafkan. Baginda seorang pemaaf malah tidak pernah berasa sakit hati atau berdendam.
Walaupun selalu berdepan dengan perbuatan menyakitkan sehingga boleh mengancam nyawanya namun baginda tidak pernah membalas.
Tentu saja kita selalu mendengar kisah Rasulullah SAW diludah kafir Quraisy ketika dalam perjalanan pulang dari masjid dan kisah baginda dibaling batu oleh pemuda Bani Thaqif sehingga kaki baginda berdarah saat berdakwah di Taif.
Bagaimanapun, pernahkah kita mengikut jejak Rasulullah itu? Sukar kerana kita bukan maksum – itu antara jawapan mudah diberikan manusia.
Padahal, memaafkan itu hanya lafaz dengan hati terbuka. Bukalah hati untuk meminta maaf dan menerima maaf. Untuk apa kita menanam ego sekiranya di sana esok kita perlu berdepan dengan sifat mazmumah kita sendiri?
Usah meletakkan diri terlalu tinggi untuk meminta maaf dan memaafkan. Buatlah tanpa mengira pangkat dan darjat mahu pun tua atau muda. Tidak ada salah yang tua memohon maaf kepada yang muda dan sebaliknya. Tidak akan jatuh pun maruah atau air muka sekiranya kita memulakan.
Berbaiklah antara kita selepas bermaafan. Barangkali sukar tetapi di dunia ini tiada apapun yang boleh kita bawa ke alam sana kelak kecuali tiga perkara, seperti termaktub dalam hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”.
Justeru jadikan amalan maaf sebagai kebiasaan untuk diri sendiri. Tiada manusia yang sempurna dan tiada manusia yang tidak pernah khilaf.
Malahan, manusia yang sentiasa memaafkan walaupun berada di pihak yang benar adalah kemuliaan buat dirinya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)
Buang ego dan selalu tanamkan rasa tenang dalam diri. Saat mata tidak senang dengan manusia lain, pandang ke arah lain dan carilah penyelesaian bukan menanam ego lalu membentak kiri dan kanan sehingga kita lupa kita pun pernah melakukan khilaf.
Bermaafanlah, jalinkan hubungan baik dan ketepikan ego.
Oleh: Siti Nurazlinee Azmi (Bekas Wartawan Berita Harian)
PENAFIAN: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune