Menteri tolong jangan pertahankan pemandu mabuk

0
1858

CYBERJAYA- Desakan orang ramai supaya pemandu mabuk yang melanggar mangsanya sehingga mati dikenakan hukuman mati adalah sangat kuat dan berasas.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminudin Yahaya berkata, berikutan itu, pihaknya hairan mengapa terdapat menteri terlalu ‘protective’ atau mempertahankan jenayah tersebut.

Katanya, kenyataan sesetengah pihak bahawa desakan itu sebagai sesuatu yang terburu-buru adalah sesuatu yang hina dan mengecewakan banyak pihak.

“Kes memandu dalam keadaan mabuk dan mengakibatkan kematian sudah terlalu banyak berlaku dan memang telah menggusarkan rakyat

“Kes ini telah menjadi isu nasional selama beberapa minggu berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dakwa Aminudin, tindakan menteri yang terlalu ‘protective’ pada pemabuk seolah-olah tidak bersimpati kepada mangsa yang mati dengan tragis.

“Apa yang menteri mahu lindungi sebenarnya? Rakyat benar-benar mahu tahu. Ini soal nyawa manusia yang telah banyak hilang.

“Lebih-lebih lagi mereka yang telah mati ketika mencari rezeki, bekerja dan bertugas dengan penuh keikhlasan. Akhirnya, nyawa melayang seolah-olah tiada nilai akibat mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan, perasaan ibu bapa yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa. Sangat memilukan hati jika difikirkan.

“Apakah perasaan simpati yang mahukan keadilan ini dikira sebagai satu bentuk balas dendam? Sangat mendukacitakan,” ujarnya.

Selain itu katanya, jika dadah dianggap begitu berbahaya sehingga negara isytihar perang terhadapnya, mengapakah tidak pada arak.

“Kita tidak mahu lebih ramai lagi orang yang mati sia-sia akibat kesilapan kita pada hari ini. Jika ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Maka, kita usahakanlah. Isu-isu teknikal pasti boleh disimpulkan jika ada keinginan yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan.

“Rujuklah ahli-ahli akademik, NGO, tokoh masyarakat dan pakar undang-undang untuk sama-sama kita jayakan agenda ini. Jangan tutup terus idea hukuman mati ini.

“Kepada rakyat, masa mengikut segala kata-kata ahli-ahli politik secara membuta tuli sudah berakhir kerana kita sudah semakin bijak menilai.

“Pastikan ahli-ahli politik kita tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya apabila berkuasa. Suarakanlah perkara yang anda setuju, jangan hanya pendam sahaja,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here