Oleh SITI AZIELAH WAHI
RAUDHAH CITY – Jenama pencinta teh, Tea Amo terus mendapat tempat di hati pelanggan menerusi hampir 40 hidangan minuman yang ditawarkan di Malakat Mall Cyberjaya.
Beberapa elemen istimewa terdapat dalam hidangan minuman itu seperti taufa dan ‘roasted brown sugar’ menjadikan minuman daripada jenama itu lebih ‘umph’ berbanding jenama lain di negara ini.
Sekitar pertengahan tahun lalu, jenama ini pernah menjadi ‘trending’ nombor satu di Malaysia sehingga penggemar minuman ‘bubble tea’ sanggup beratur panjang di premis yang terletak SS15 Subang Jaya.
Tea Amo diasaskan oleh beberapa Pengasas Muslim tempatan yang turut menggunakan bahan halal dengan kualiti terbaik.
Pengurus Jenama Tea Amo Malakat Mall, Achmad Annur Iqbal Nasir
Pengurus Jenama Tea Amo Malakat Mall, Achmad Annur Iqbal Nasir berkata, jenama yang mula bertapak di negara ini pada 2018 mempunyai penggemarnya tersendiri walaupun tidak sepopular jenama lain.
“Antara menu terbaik yang kami sediakan termasuk ‘Taufa Brown Sugar Pearl’, ‘Taufa Royal Milk Tea’, ‘Mango Taufa’, ‘Mango strawberry’, ‘Chocolate Milk’, ‘Hazelnut Milk Tea’, dan ‘Rose Milk Taufa Brown Sugar’,” katanya.
Malah menurutnya, ‘Taufa Dessert’ sebagai pencuci mulut jenama itu merupakan hidangan istimewa mereka sentiasa menjadi kegemaran pelanggan.
Mengulas mengenai keunikan hidangan minuman Tea Amo, elemen Taufa dan ‘bubbles pearl’ dalam minuman membangkitkan kelazatan yang sukar digambarkan menyebabkan pelanggan tidak dapat melupakan kenikmatannya.
“Kelopak mawar yang ditabur dalam ‘Rose Milk Tea Brown Sugar’ pula membangkitkan aroma istimewa dengan rasa luar biasa,” katanya.
Menurut pengurus jenama berusia 36 tahun itu, sejak dibuka di Malakat Mall hampir tiga bulan lalu, jumlah jualan Tea Amo menunjukkan angka membanggakan setiap hari.
“Malakat Mall merupakan cawangan kedua Tea Amo. Meskipun baru beroperasi, dan kita semua sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan, jualan harian di sini mencatatkan jumlah antara RM3,000 hingga RM4,000 sehari.
“Sebanyak 300 hingga 400 cawan terjual dan ada ketika pelanggan terpaksa beratur panjang demi menikmati secawan Tea Amo,” katanya.
Melihatkan potensi itu, Achmad Annur Iqbal optimis jenama ini terus kekal di hati pelanggan dan mampu bersaing dengan jenama lain yang ada di negara ini.
Sementara itu, menurut Achmad Annur Iqbal bermula semalam, pelanggan yang tidak dapat datang membeli di Malakat Mall kini boleh berbuat demikian melalui aplikasi Food Panda.-MBNews