Nasib ahli YGMB hidap penyakit kritikal terbela

0
135

DUNGUN- Nasib ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang ditimpa penyakit kritikal akan tetap terbela tanpa mengira tempoh selama mana menjadi ahli melalui manfaat kebajikan yang disediakan.

Terbaharu yang menerima manfaat kebajikan itu ialah guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Dungun, Terengganu, Norhayati Yasin, 47 tahun, yang menghidap kanser payudara tahap dua.

Majlis penyampaian sumbangan sebanyak RM25,036.38 di rumah Norhayati di Kampung Alor Rekam itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab. Ghani

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat serta
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Matsor Ismail dan Zainudin Muda.

Menurut Norhayati, beliau disahkan manghidap kanser payudara pada September tahun lalu dan telah menjalani pembedahan membuang ketulan pada 31 September tahun lalu.

“Pada mulanya pada awal Ogos, saya mendapati ada ketulan di payudara sebelum membuat pemeriksaan di hospital. Pada September doktor sahkan saya menghidap kanser payudara.

“Seterusnya saya menjalani kimoterapi pada Mac tahun ini dan proses radioterapi pada April lalu. Alhamdulillah kini semakin baik, terima kasih atas sokongan suami dan juga anak-anak,” katanya.

Menurut Norhayati, beliau memohon cuti sakit daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu selama dua tahun bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses rawatan.

“Tahun ini tiada sambutan hari raya, saya pun masih dalam proses rawatan ketika itu. Terima kasih kepada suami dan anak-anak kerana memahami, mereka juga banyak bantu saya.

“Mereka semua positif, terima keadaan saya sekarang seperti biasa. Suami pun, Alhamdulillah bawa saya pergi rawatan dan sebagainya untuk tengok saya sihat,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Mengulas mengenai penyertaan sebagai ahli YGMB, Norhayati berkata, dia menyertai yayasan pada 2018 dalam majlis anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

“Bila ada promosi baru kita tahu YGMB ada sediakan pelbagai manfaat. Bagi saya promosi ini sangat membantu dan memberi pendedahan kepada warga pendidik untuk menjadi ahli,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, terbaharu ketika ini, YGMB menyediakan 19 manfaat kebajikan kepada ahli dengan yuran keahlian hanya RM28 sebulan.

“Untuk hari ini, Norhayati menerima manfaat sebanyak RM25,036.38 termasuk nilai simpanan daripada yuran keahlian,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here