
WELLINGTON – New Zealand tidak mempunyai kes aktif Covid-19 untuk pertama kalinya sejak 28 Februari, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada hari ini.
Memetik laporan Agensi seperti dipetik MalaysiaGazzate, individu terakhir yang dipantau untuk wabak itu, kini dikeluarkan daripada pengasingan kerana bebas daripada gejala dan dianggap pulih, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Ashley Bloomfield.
“Tidak mempunyai sebarang kes aktif untuk kali pertamanya sejak 28 Februari lalu adalah satu signifikan penting dalam usaha ini, tetapi seperti apa yang kami katakan sebelum ini, sikap berwaspada perlu diutamakan bagi menentang penularan wabak Covid-19,” katanya.
New Zealand berjaya menangani pandemik ini apabila tujuh minggu sekatan ketat dilaksanakan yang berakhir pada bulan lalu.
Negara Pasifik Selatan dengan populasi lima juta itu mempunyai 1,154 kes disahkan dengan 22 kematian, namun sejak 17 hari lalu tiada kes baharu dilaporkan dan hanya satu kes aktif dicatatkan sepanjang minggu lalu.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern dijangka mengumumkan New Zealand akan beralih ke tahap amaran Level 1, iaitu peringkat terendah pada sistem tindak balas virus empat peringkatnya.
Namun, sekatan perjalanan antarabangsa masih dikekalkan, manakala perjalanan domestik dikawal. – MBNews